Berada hampir 2 minggu ni Plastic Surgery Department memberi persepsi baru tentang erti sebuah syukur dan nilai hamdalah yang sebenar dalam setiap detik kehidupan.
Secara peribadinya saya sangat terkesan dengan kes yang melibatkan kebakaran (burn injuries) dan konsep reconstructive dalam Plastic surgery. Adapun konsep “aesthethic” adalah satu isu syubhat yang memerlukan kajian lebih lanjut dan perlu kepada pemahaman yang sebenar tentang kecantikan luaran dalam Islam.
Hanya dengan melihat foto gambar pesakit yang terbakar anggota tubuh badannya membangkitkan perasaan yang sangat sakit dan azab, dan itulah salah satu uslub Al Quran yang memberikan gambaran yang boleh dibayangkan namun tidaklah gambaran yang mampu kita imaginasikan itu sama seperti apa yang dicipta oleh Allah dan pastinya api neraka itu lebih dahsyat daripada api di dunia.
Setiap pesakit ada ceritanya bagaimana kebakaran/luka melecur itu boleh berlaku.
1- Seorang bayi yang baru merangkak pergi ke dapur dan cuba memanjat meja makan, menarik alas meja maka jatuhlah air panas menyimbahi tubuhnya yang masih kecil.
2- Seorang remaja perempuan cuba membaiki alat pengering rambut yang tiba2 rosak semasa menggunakannya, terlupa mencabut kabel daripada plug lalu terkena renjatan elektrik.
3- Seorang pemuda cuba menyalakan dapur gas tiba2 ia meletup, lalu membakar hampir seluruh badannya.
4- Seorang pemudi berjalan keluar untuk membeli barang di kedai secara tiba2 di simbah asid di muka oleh orang yang tidak dikenali.
Dan pelbagai lagi cerita kehidupan seharian yang kita lalui, secara tiba2 kecelakaan berlaku.
Sebenarnya kita terselamat daripada kecelakaan/kemalangan itu setiap detik dan ketika, dengan rahmat dan kasih sayang daripada Allah.. Namun sukar untuk kita rasakan perasaan syukur dan hamdalah itu kerana kita rasakan itulah rutin harian kita, minum air panas tak pernah melecur, memasak tanpa pernah rasa gas itu boleh meletup bila2, berjalan dengan riang ria tanpa rasa takut bila2 sahaja boleh berlaku kemalangan.
Itulah sebabnya ayat “فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَان’´ itu berulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar-Rahman… Ia menuntut kita mendatangkan sebanyak-banyak situasi yang membuatkan kita wajib bersyukur dalam setiap perbuatan dan fikiran kita. Selitkanlah Alhamdulillah dalam hati, dan berdoa semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang malapetaka yang tidak disangka-sangka..
Selitkanlah juga tafakkur rahmat Allah dan kasih sayangnya yang tidak menguji kita dengan ujian yang berat, dan yang memudahkan segala urusan seharian kita.
Biasakan diri untuk mengucap Alhamdulillah selepas membaca bismillah sebagai muqaddimah segala amal kita.
Sesungguhnya yaa Akhawati fillah, kita takkan dapat hidup hatta sesaat pun tanpa belas kasihan dan rahmat Allah…
Kali ini pada saat ini kalian membaca coretan ini juga atas rahmatNya yang tidak terbilang..
Al Quran telah memberi peringatan ini (فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَان) sebanyak 31 kali kepada kita, terealisasikah amalnya pada kita?
…..Ucapan Alhamdulillah akan memenuhi timbangan (amal kebajikan seorang hamba)
( HR. Muslim)
…..Ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah akan memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi….
(HR.Muslim)
